* Suasana semasa pertandingan.
Gerakan Belia 4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan
Saturday, July 5, 2008
Kejohanan Bowling Trio Berpasukan Piala Datuk Ir Hj Idris Haron
* Suasana semasa pertandingan.
Thursday, July 3, 2008
Anugerah Kurnia Belia Jaya dan Belia PARUJAS
Tanggal 15 Mei dipilih bersempena penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 1964, iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu. Bagi kita, ia bukan saja setakat hari belia, tetapi perayaan Hari dan Minggu Belia Negara, malah, ada sesekali, ia disambut sebagai Hari dan Bulan Belia Negara. Adakalanya Anugerah Belia Negara disampaikan pada majlis berasingan. Anugerah ini amat penting kerana ia pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kejayaan belia, sama ada secara individu atau berpersatuan dalam pelbagai bidang. Malaysia antara negara paling awal mengadakan program ini. Banyak anugerah belia di negara lain adalah mengambil teladan daripada kita.Kisah kejayaan ini perlu didokumentasikan dan disebarkan seluas-luasnya. Ia dapat menjadi rujukan dan sumber inspirasi generasi masa depan. Penerima anugerah ini sepatutnya dijadikan ikon atau duta belia yang sebenarnya, kerana mereka terbabit dan berjaya dalam pembangunan belia. Satu masa dulu, iaitu sehingga zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri di KBS, anugerah ini dikenali Anugerah Kurnia Belia Jaya (KBJ) sekarang ini dikenali sebagai Anugerah Perdana Pertubuhan Belia. Hadiah utamanya adalah untuk persatuan belia paling aktif. Pernah pengumuman pemenangnya dibuat pada majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia Negara yang dilakukan menteri di tempat pemenang, manakala penyampaiannya dilakukan di perhimpunan.
Wednesday, July 2, 2008
Belia PARUJAS di Kenduri Kampung.
Dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada , gula pasir, gula melaka dan garam. Di Kampung Paya Rumput Jaya, aktiviti mengacau dodol dijalankan setiap tahun di bulan Ramadhan. Aktiviti ini telah dijayakan oleh belia-belia PARUJAS dan dodol ini akan diagihkan kepada penduduk kampung. Pada 15 Oktober 2006, Gerakan Belia 4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan bersama JKKK Paya Rumput Jaya dengan kerjasama KEMAS telah menjalankan Program Gotong-Royong dan Berbuka Puasa Kenduri Kampung. Ratusan penduduk tak kira tua dan muda terlibat dalam program ini. Acara yang menjadi tumpuan semasa program ini dijalankan ialah acara mengacau dodol, membakar lemang, memotong daging dan gotong-royong di tanah perkuburan.
* Acara membakar lemang oleh penduduk kampung.
* Acara memotong daging secara gotong-royong untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.
Tuesday, July 1, 2008
Sejarah Pertubuhan Belia PARUJAS
Pertubuhan belia di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ) mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Permulaannya mungkin lebih awal lagi tetapi yang dpat dikesan ialah di sekitar era tahun 1960 an. Sebelum tahun 1966 belia di PARUJAS telah mula berpersatuan. Belia pada masa itu telah menubuhkan sebuah persatuan untuk bergerak secara berkumpulan yang dinamakan Pemuda Kampung Paya Rumput atau lebih dikenali dengan PKPR yang diketuai oleh Malek bin Hj Kassim. Berkemungkinan PKPR adalah persatuan belia pertama di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ). Aktiviti yang dijalankan oleh PKPR pada masa itu lebih kepada aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti gotong-royong di sawah padi yang dipanggil “menyeraya”. PKPR juga telah mengadakan dua pementasan drama sebagai hiburan kepada penduduk kampung yang dilakonkan oleh ahli-ahli PKPR iaitu drama “Hang Tuah dan Hang Jebat” dan “Anak Derhaka”. Aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh belia pada masa itu ialah bersawah padi. Sukan yang dimainkan oleh belia PKPR pada masa itu ialah Sepak Raga Bulatan, Sepak Raga Jaring, Gasing dan Silat. Manakala kebudayaan yang popular pada masa itu ialah “Rebana Keras” sehinggakan PKPR mempunyai pasukan “Rebana Keras” tersendiri yang bermain di majlis-majlis perkahwinan dan keraian.
Pada tahun 1965 telah berlakunya evolusi dalam kepimpinan belia di Malaysia dimana satu lagi pertubuhan bukan kerajaan NGO telah ditubuhkan iaitu Gerakan Belia 4B. Bahangnya dirasai diseluruh tanahair termasuklah di Kampung Paya Rumput Jaya. Hasilnya daripada permuafakatan belia Kampung Paya Rumput Jaya pada masa itu telah bersetuju membubarkan PKPR dan bernaung dibawah Gerakan Belia 4B. Maka pada tahun 1966, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah ditubuhkan dan Ustaz Salleh bin Md Ali telah dilantik menjadi pengerusi yang pertama. Semasa inilah Projek Tanaman Sayur diperkenalkan di Paya Rumput Jaya.
Pada tahun 1969, Safian bin Muslim telah dilantik menjadi pengerusi yang kedua. Di bawah kepimpinannya Projek Pertanian iaitu tanaman sayur dan padi dijalankan secara besar-besaran. Pengeluaran sayur pada masa itu dijangkakan mencapai 3 tan sehari dan ia menjadi salah satu punca utama pendapatan penduduk. Selepas itu Bengkel Belia telah ditubuhkan pada tahun 1971 dan dirasmikan oleh YAB Datuk Setia Ghani Ali, Ketua Menteri Melaka. Semasa Anugerah Belia Jaya diperkenalkan, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Daerah Melaka Tengah dan peringkat Negeri Melaka pada tahun 1973. Pada tahun 1974 telah menyaksikan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Kebangsaan kali kedua. Anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada masa itu YB Dato' Ali Hj Ahmad di Kampung Paya Rumput ditemani oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Perdana Menteri Malaysia Kelima ) yang pada masa itu merupakan Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Oleh kerana banyak anugerah yang diterima oleh Kampung Paya Rumput maka pada 1982, Kerajaan Negeri Melaka telah memberikan Anugerah Kampung Jaya dan diistiharkan penukaran nama daripada Paya Rumput ke Paya Rumput Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Kuala Sungai Baru, Melaka. Pada tahun 1983 Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat saguhati penyertaan Pertandingan Anugerah Belia Jaya peringkat Negara-Negara Komanwel. Pada tahun yang sama juga menjadi tuanrumah Program Pertukaran Belia Indonesia-Malaysia. Manakala pada tahun 1985 pula menjadi tuanrumah Projek Anak Angkat Belia-Belia Komanwel.
Selepas itu Penghulu Khidhir bin Jantan mengambil alih Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput. Pada zaman ini kesinambungan projek pertanian diteruskan. Kemudian Sidang Zainuddin bin Abdul Samad mengambil alih persatuan dan pada zaman beliau telah dilaksanakan projek ternakan ayam daging dan memproses ayam. Pengerusi-pengerusi selepasnya ialah Kamal bin Md Sin, Samdin bin Maulud dan Zakaria bin Mahbot. Pada tahun 1991 persempadanan baru telah berlaku dan Kampung Paya Rumput Jaya terbahagi kepada dua daerah. Sebelah hulu dipegang oleh Yazid Md Din dan sebelah hilir dipegang oleh Wahab bin Meran. Disinilah mulanya kejatuhan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput disebabkan masalah pentadbiran Pejabat Belia Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah. Akibatnya dalam tempoh 12 tahun iaitu 1991 hingga 2002 Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah dibatalkan pendaftaran pertubuhannya.
Pada tahun 2004, persatuan belia PARUJAS telah ditubuhkan semula dengan nama baru iaitu Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan yang mana Abdul Rahman bin Safian menjadi pengerusinya. Pada masa ini pembaikkan semula telah dijalankan dengan penumpuan kepada pentadbiran, sukan dan ekonomi. Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan telah mempunyai pejabatnya sendiri di bangunan Perpustakaan Desa di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ). Manakala pada tahun 2008, Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan telah dipimpin oleh Rudy Azizi Md Dali dan dibawah kepimpinannya belia PARUJAS rancak menjalankan aktiviti ekonomi pertanian dan penternakan.

