Tanggal 15 Mei dipilih bersempena penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 1964, iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu. Bagi kita, ia bukan saja setakat hari belia, tetapi perayaan Hari dan Minggu Belia Negara, malah, ada sesekali, ia disambut sebagai Hari dan Bulan Belia Negara. Adakalanya Anugerah Belia Negara disampaikan pada majlis berasingan. Anugerah ini amat penting kerana ia pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kejayaan belia, sama ada secara individu atau berpersatuan dalam pelbagai bidang. Malaysia antara negara paling awal mengadakan program ini. Banyak anugerah belia di negara lain adalah mengambil teladan daripada kita.Kisah kejayaan ini perlu didokumentasikan dan disebarkan seluas-luasnya. Ia dapat menjadi rujukan dan sumber inspirasi generasi masa depan. Penerima anugerah ini sepatutnya dijadikan ikon atau duta belia yang sebenarnya, kerana mereka terbabit dan berjaya dalam pembangunan belia. Satu masa dulu, iaitu sehingga zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri di KBS, anugerah ini dikenali Anugerah Kurnia Belia Jaya (KBJ) sekarang ini dikenali sebagai Anugerah Perdana Pertubuhan Belia. Hadiah utamanya adalah untuk persatuan belia paling aktif. Pernah pengumuman pemenangnya dibuat pada majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia Negara yang dilakukan menteri di tempat pemenang, manakala penyampaiannya dilakukan di perhimpunan.
Di Kampung Paya Rumput Jaya juga pernah menjadi sejarah penyampaian anugerah ini iaitu pada tahun 1974 dimana pertubuhan belia PARUJAS pada masa itu, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput menerimanya. Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Daerah Melaka Tengah dan peringkat Negeri Melaka pada tahun 1973. Pada tahun 1974 telah menyaksikan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Kebangsaan kali kedua. Anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada masa itu YB Dato' Ali Hj Ahmad di Kampung Paya Rumput ditemani oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Perdana Menteri Malaysia Kelima ) yang pada masa itu merupakan Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Ini adalah sejarah belia PARUJAS. Harapannya mungkin setelah sekian lama anugerah ini dapat kembali ke belia PARUJAS. Untuk mencapai hasrat ini, ahli-ahli belia PARUJAS mestilah bekerja kuat memajukan diri dan persatuan. Di era baru yang serba moden ini, cabarannya juga berbeza. Kekuatan ilmu pengetahuan dalam ICT, kemahiran, jatidiri, pertanian berteknologi tinggi dan kewibawaan kepimpinan akan menjadi asas kepada kejayaan yang akan dicapai. Semoga ini akan menjadi pendorong dan semangat kepada belia-belia PARUJAS untuk terus berjuang demi pembangunan dan kejayaan belia, persatuan dan Kampung PARUJAS.


No comments:
Post a Comment