Gerakan Belia 4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan

Selamat datang ke blog ini. Persatuan Belia ini telah ditubuhkan pada tahun 2004. Walaupun nampak baru tapi sebenarnya ia mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia belia. Persatuan ini telah mengalami zaman kegemilangan pada era 60 an ke 70 an dan kejatuhan pada 80 an hingga menyebabkan dibatalkan pendaftaran pertubuhannya. Namun kini ia bangkit semula dengan nama baru iaitu Gerakan Belia 4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan dengan harapan ia akan menjadi pemangkin untuk belia Kampung Paya Rumput Jaya atau juga dikenali dengan PARUJAS memajukan diri dari aspek ekonomi, sosial dan jatidiri.

Thursday, February 19, 2009

Program Anak Angkat Antarabangsa MMU


Pada 11 hingga 15 Januari 2009 sekali lagi Parujas telah menerima Program Anak Angkat Antarabangsa, dan kali ini dari pelajar-pelajar Multimedia Malaysia Universiti (MMU). Seramai 60 orang peserta terlibat yang terdiri daripada pelajar MMU dari pelbagai negara seperti Arab Saudi, Yaman, Afrika, Indonesia dan Filipina. Program ini telah dianjurkan oleh MMU dengan kerjasama Bahagian Pekerja dan Pelajar Asing Jabatan Ketua Menteri Melaka, Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Jabatan Belia dan Sukan, Gerakan Belia 4B Paya Rumput Jaya Wawasan dan JKKK Parujas. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini antaranya Sukan Rakyat, Senamrobik, Program Kerohanian, Malam Kebudayaan dan Parujas Eco-Challenge. Di Malam Kebudayaan, beberapa orang kenamaan turut hadir memeriahkan majlis antaranya YB Datuk Hj Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Hj Yaakub Md Amin, ADUN Sungai Udang merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka, En. R.Effendy Razali, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, En. Shadan Othman, Pengarah Bahagian Pekerja dan Pelajar Asing Jabatan Ketua Menteri Melaka dan En. Nizam Omar, Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka.



Program Senamrobik Peserta bersama Belia Parujas












Acara Sukan Rakyat







Lawatan bersama keluarga angkat ke Sungai Melaka menaiki Melaka River Cruise
















Saudara Rudy Azizi Md Dali selaku Ketua Belia Parujas menyampaikan hadiah kepada para peserta

Lawatan Sehari Belia DMDI Ke Parujas


Parujas sekali lagi dikunjungi oleh belia dari Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada 21 Disember 2008. Lawatan seramai 60 orang belia dari Indonesia ini diuruskan oleh Sekretariat DMDI dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM). Rombongan ini telah disambut oleh Gerakan Belia 4B Parujas dan JKKK Parujas dengan meriah sekali. Belia Parujas telah menguruskan sambutan lawatan mereka di Parujas. Lawatan seumpama ini telah menjadi acara tetap belia DMDI setiap kali program mereka di Melaka.
Ketibaan rombongan Belia DMDI ke Parujas

Peserta rombongan bergambar kenangan di Medan Info Desa Parujas

Program Anak Angkat USIM 2008


Program Anak Angkat USIM telah diadakan pada 21 hingga 23 November 2008 di Parujas. Program ini telah diadakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, JKKK Parujas dan Gerakan Belia 4B(M) Caw Paya Rumput Jaya Wawasan. Seramai 70 orang siswa-siswi terlibat dalam program ini. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini antaranya Program Derma Darah, Majlis Perkahwinan, Interaksi dua hala dan sebagainya. Pertukaran idea yang berlaku telah memberi banyak manfaat kepada siswa-siswi USIM dan belia Parujas. Ia telah membuka mata kedua-dua pihak untuk memajukan lagi diri masing-masing. Program Derma Darah Bersama Masyarakat Setempat


Peserta USIM di Majlis Perkahwinan











Urusetia Program Anak Angkat USIM daripada belia Parujas

Program Anak Angkat Antarabangsa dari Yogyakarta, Indonesia

Pada 6 hingga 9 November 2008 belia Parujas telah menerima kunjungan dari Yogyakarta, Indonesia dalam Program Anak Angkat Antarabangsa. Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada belia Yogyakarta, Indonesia terlibat dalam program ini. Para peserta ini datang daripada Sekolah Menengah Atas Negeri Tiga Yogyakarta, Indonesia. Pelbagai acara telah diadakan sepanjang program ini termasuklah sukan rakyat, kebudayaan, lawatan rekreasi dan sebagainya. Di malam kebudayaan, YB Datuk Hj Idris Haron dan isteri iaitu Ahli Parlimen Tangga Batu dan juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi turut hadir memeriahkan majlis.

YB Datuk Hj Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu dan juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sedang duduk bersembang dengan Ketua Rombongan Yogyakarta dan Sidang Zainuddin Abdul Samad, Ketua Kampung Parujas.

Belia Yogyakarta membuat persembahan di malam kebudayaan.

Tuesday, February 17, 2009

Senamrobik Sempena ADC 2008


Pada 18 Oktober 2008 iaitu sehari selepas penganugerahan ADC 2008 satu program senamrobik telah diadakan di Parujas. Program Senamrobik ini telah disiarkan secara langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia. Seramai 1000 orang peserta dari sekitar Parlimen Tangga Batu mengambil bahagian.Beberapa orang artis juga turut memeriahkan program ini dengan turut sama bersenamrobik bersama peserta-peserta lain. Belia Parujas telah menjadi urusetia dalam program ini dan ini membuktikan belia Parujas boleh menganjurkan program bertaraf nasional.

Monday, February 16, 2009

Anugerah Desa Cemerlang 2008...TAHNIAH PARUJAS!!!

Tanggal keramat 17 Oktober 2008 menyaksikan sekali lagi Parujas melakar sejarah negara apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang 2008 peringkat kebangsaan. Hadiah telah disampaikan dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Parujas oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang disaksikan oleh YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka dan YB Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Seramai 8000 orang telah hadir menyaksikan majlis penyampaian Anugerah tersebut.













Pak Lah sedang menyampaikan ucapan dan beliau juga menceritakan pengalaman beliau di Parujas semasa beliau menjadi Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan sekitar tahun 1970 an.















JKKK Parujas bergambar kenangan bersama YB Datuk Wira Omar Kaseh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan En. Roslan, Pegawai Daerah Melaka Tengah sejurus selepas majlis penyampaian Anugerah.

Pasukan Koir Belia Parujas yang dipimpin oleh saudara Ghafar Haron. Persembahan Pasukan Koir Parujas ini memukau para hadirin dan telah meletakkan "standard" yang tinggi setanding dengan pasukan koir bertaraf profesional.

Kembara Larian Merdeka Bersama Ketua Menteri Melaka

Pada 29 Ogos 2008 seramai 40 orang Belia Parujas telah menyertai Program Kembara Larian Merdeka Bersama Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Mohd Rustam. Program ini telah dianjurkan oleh Gerakan Belia 4B Malaysia dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka. Program ini telah mendapat sambutan yang baik dari semua cawangan 4B di negeri Melaka dan Belia Parujas tidak mahu ketinggalan untuk menyertainya.











Saturday, July 5, 2008

Kejohanan Bowling Trio Berpasukan Piala Datuk Ir Hj Idris Haron


Pada tanggal 15 Jun 2008, Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan dengan kerjasama Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Tangga Batu telah mengadakan Kejohanan Bowling Trio Berpasukan bagi merebut Piala Datuk Ir Hj Idris Bin Haron di Ampang Superbowl, Mahkota Parade Melaka. Kejohanan ini diadakan sempena bulan sukan PARUJAS yang diadakan pada bulan Jun. Jadi untuk menyokong dan membantu JKKK PARUJAS, GB4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan telah mengadakan kejohanan ini. Pengerusi bagi kejohanan ini ialah Cik Nurul Aini Bt Hj Nordin. Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Sebanyak 20 pasukan telah menyertai kejohanan ini. Ada 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita dan Trio Berpasukan. Ini adalah permulaan yang baik untuk persatuan dan belia-belia PARUJAS dalam menganjurkan program-program sukan bertaraf tinggi. Pertandingan ini telah dirasmikan penutupannya oleh saudara Zali Md Yasin, Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Tangga Batu yang mewakili YB Datuk Ir Hj Idris Bin Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu.
* Para pemain sedang bersiap sedia untuk memulakan kejohanan.










* Suasana semasa pertandingan.









* Antara pemenang kejohanan.



Thursday, July 3, 2008

Anugerah Kurnia Belia Jaya dan Belia PARUJAS



Tanggal 15 Mei dipilih bersempena penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 1964, iaitu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu. Bagi kita, ia bukan saja setakat hari belia, tetapi perayaan Hari dan Minggu Belia Negara, malah, ada sesekali, ia disambut sebagai Hari dan Bulan Belia Negara. Adakalanya Anugerah Belia Negara disampaikan pada majlis berasingan. Anugerah ini amat penting kerana ia pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kejayaan belia, sama ada secara individu atau berpersatuan dalam pelbagai bidang. Malaysia antara negara paling awal mengadakan program ini. Banyak anugerah belia di negara lain adalah mengambil teladan daripada kita.Kisah kejayaan ini perlu didokumentasikan dan disebarkan seluas-luasnya. Ia dapat menjadi rujukan dan sumber inspirasi generasi masa depan. Penerima anugerah ini sepatutnya dijadikan ikon atau duta belia yang sebenarnya, kerana mereka terbabit dan berjaya dalam pembangunan belia. Satu masa dulu, iaitu sehingga zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri di KBS, anugerah ini dikenali Anugerah Kurnia Belia Jaya (KBJ) sekarang ini dikenali sebagai Anugerah Perdana Pertubuhan Belia. Hadiah utamanya adalah untuk persatuan belia paling aktif. Pernah pengumuman pemenangnya dibuat pada majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia Negara yang dilakukan menteri di tempat pemenang, manakala penyampaiannya dilakukan di perhimpunan.
Di Kampung Paya Rumput Jaya juga pernah menjadi sejarah penyampaian anugerah ini iaitu pada tahun 1974 dimana pertubuhan belia PARUJAS pada masa itu, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput menerimanya. Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Daerah Melaka Tengah dan peringkat Negeri Melaka pada tahun 1973. Pada tahun 1974 telah menyaksikan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Kebangsaan kali kedua. Anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada masa itu YB Dato' Ali Hj Ahmad di Kampung Paya Rumput ditemani oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Perdana Menteri Malaysia Kelima ) yang pada masa itu merupakan Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Ini adalah sejarah belia PARUJAS. Harapannya mungkin setelah sekian lama anugerah ini dapat kembali ke belia PARUJAS. Untuk mencapai hasrat ini, ahli-ahli belia PARUJAS mestilah bekerja kuat memajukan diri dan persatuan. Di era baru yang serba moden ini, cabarannya juga berbeza. Kekuatan ilmu pengetahuan dalam ICT, kemahiran, jatidiri, pertanian berteknologi tinggi dan kewibawaan kepimpinan akan menjadi asas kepada kejayaan yang akan dicapai. Semoga ini akan menjadi pendorong dan semangat kepada belia-belia PARUJAS untuk terus berjuang demi pembangunan dan kejayaan belia, persatuan dan Kampung PARUJAS.

Wednesday, July 2, 2008

Belia PARUJAS di Kenduri Kampung.


Dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada , gula pasir, gula melaka dan garam. Di Kampung Paya Rumput Jaya, aktiviti mengacau dodol dijalankan setiap tahun di bulan Ramadhan. Aktiviti ini telah dijayakan oleh belia-belia PARUJAS dan dodol ini akan diagihkan kepada penduduk kampung. Pada 15 Oktober 2006, Gerakan Belia 4B(M) Paya Rumput Jaya Wawasan bersama JKKK Paya Rumput Jaya dengan kerjasama KEMAS telah menjalankan Program Gotong-Royong dan Berbuka Puasa Kenduri Kampung. Ratusan penduduk tak kira tua dan muda terlibat dalam program ini. Acara yang menjadi tumpuan semasa program ini dijalankan ialah acara mengacau dodol, membakar lemang, memotong daging dan gotong-royong di tanah perkuburan.

















* Belia dan beliawanis sedang tekun mengacau dodol. Nampak macam mudah tetapi mereka mengacau tak kurang daripada 4 jam untuk menghasilkan dodol ini. Kelihatan Cik Nurul dan Cik Suhaila sedang mengacau dodol.


* Acara membakar lemang oleh penduduk kampung.
* Acara memotong daging secara gotong-royong untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.


* Aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan oleh belia-belia PARUJAS bersama dengan penduduk kampung.







* Tenaga kerja untuk melaksanakan program ini. Abdul Rahman,Osman, Ahmad Fajri, Rashid, Izuan, Khalid, Ahmad Riduan dan Mohd Fadly.

Tuesday, July 1, 2008

Sejarah Pertubuhan Belia PARUJAS


Pertubuhan belia di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ) mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Permulaannya mungkin lebih awal lagi tetapi yang dpat dikesan ialah di sekitar era tahun 1960 an. Sebelum tahun 1966 belia di PARUJAS telah mula berpersatuan. Belia pada masa itu telah menubuhkan sebuah persatuan untuk bergerak secara berkumpulan yang dinamakan Pemuda Kampung Paya Rumput atau lebih dikenali dengan PKPR yang diketuai oleh Malek bin Hj Kassim. Berkemungkinan PKPR adalah persatuan belia pertama di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ). Aktiviti yang dijalankan oleh PKPR pada masa itu lebih kepada aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti gotong-royong di sawah padi yang dipanggil “menyeraya”. PKPR juga telah mengadakan dua pementasan drama sebagai hiburan kepada penduduk kampung yang dilakonkan oleh ahli-ahli PKPR iaitu drama “Hang Tuah dan Hang Jebat” dan “Anak Derhaka”. Aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh belia pada masa itu ialah bersawah padi. Sukan yang dimainkan oleh belia PKPR pada masa itu ialah Sepak Raga Bulatan, Sepak Raga Jaring, Gasing dan Silat. Manakala kebudayaan yang popular pada masa itu ialah “Rebana Keras” sehinggakan PKPR mempunyai pasukan “Rebana Keras” tersendiri yang bermain di majlis-majlis perkahwinan dan keraian.
Pada tahun 1965 telah berlakunya evolusi dalam kepimpinan belia di Malaysia dimana satu lagi pertubuhan bukan kerajaan NGO telah ditubuhkan iaitu Gerakan Belia 4B. Bahangnya dirasai diseluruh tanahair termasuklah di Kampung Paya Rumput Jaya. Hasilnya daripada permuafakatan belia Kampung Paya Rumput Jaya pada masa itu telah bersetuju membubarkan PKPR dan bernaung dibawah Gerakan Belia 4B. Maka pada tahun 1966, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah ditubuhkan dan Ustaz Salleh bin Md Ali telah dilantik menjadi pengerusi yang pertama. Semasa inilah Projek Tanaman Sayur diperkenalkan di Paya Rumput Jaya.
Pada tahun 1969, Safian bin Muslim telah dilantik menjadi pengerusi yang kedua. Di bawah kepimpinannya Projek Pertanian iaitu tanaman sayur dan padi dijalankan secara besar-besaran. Pengeluaran sayur pada masa itu dijangkakan mencapai 3 tan sehari dan ia menjadi salah satu punca utama pendapatan penduduk. Selepas itu Bengkel Belia telah ditubuhkan pada tahun 1971 dan dirasmikan oleh YAB Datuk Setia Ghani Ali, Ketua Menteri Melaka. Semasa Anugerah Belia Jaya diperkenalkan, Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Daerah Melaka Tengah dan peringkat Negeri Melaka pada tahun 1973. Pada tahun 1974 telah menyaksikan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kurnia Belia Jaya peringkat Kebangsaan kali kedua. Anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada masa itu YB Dato' Ali Hj Ahmad di Kampung Paya Rumput ditemani oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Perdana Menteri Malaysia Kelima ) yang pada masa itu merupakan Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Oleh kerana banyak anugerah yang diterima oleh Kampung Paya Rumput maka pada 1982, Kerajaan Negeri Melaka telah memberikan Anugerah Kampung Jaya dan diistiharkan penukaran nama daripada Paya Rumput ke Paya Rumput Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Kuala Sungai Baru, Melaka. Pada tahun 1983 Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah mendapat saguhati penyertaan Pertandingan Anugerah Belia Jaya peringkat Negara-Negara Komanwel. Pada tahun yang sama juga menjadi tuanrumah Program Pertukaran Belia Indonesia-Malaysia. Manakala pada tahun 1985 pula menjadi tuanrumah Projek Anak Angkat Belia-Belia Komanwel.
Selepas itu Penghulu Khidhir bin Jantan mengambil alih Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput. Pada zaman ini kesinambungan projek pertanian diteruskan. Kemudian Sidang Zainuddin bin Abdul Samad mengambil alih persatuan dan pada zaman beliau telah dilaksanakan projek ternakan ayam daging dan memproses ayam. Pengerusi-pengerusi selepasnya ialah Kamal bin Md Sin, Samdin bin Maulud dan Zakaria bin Mahbot. Pada tahun 1991 persempadanan baru telah berlaku dan Kampung Paya Rumput Jaya terbahagi kepada dua daerah. Sebelah hulu dipegang oleh Yazid Md Din dan sebelah hilir dipegang oleh Wahab bin Meran. Disinilah mulanya kejatuhan Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput disebabkan masalah pentadbiran Pejabat Belia Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah. Akibatnya dalam tempoh 12 tahun iaitu 1991 hingga 2002 Persatuan Belia Semangat Jaya 4B Paya Rumput telah dibatalkan pendaftaran pertubuhannya.
Pada tahun 2004, persatuan belia PARUJAS telah ditubuhkan semula dengan nama baru iaitu Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan yang mana Abdul Rahman bin Safian menjadi pengerusinya. Pada masa ini pembaikkan semula telah dijalankan dengan penumpuan kepada pentadbiran, sukan dan ekonomi. Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan telah mempunyai pejabatnya sendiri di bangunan Perpustakaan Desa di Kampung Paya Rumput Jaya ( PARUJAS ). Manakala pada tahun 2008, Gerakan Belia 4B(M) Cawangan Paya Rumput Jaya Wawasan telah dipimpin oleh Rudy Azizi Md Dali dan dibawah kepimpinannya belia PARUJAS rancak menjalankan aktiviti ekonomi pertanian dan penternakan.

Apakah itu 4B ?

4B ialah singkatan nama bagi cogankata Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat ini menjadi tunjang perjuangan pertubuhan ini. Merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 1965 dan dipimpin oleh saudara Mohs Kassim Shah selama tiga tahun (1965-1969). Konsep 4B sangat bersesuaian dengan agenda pertubuhan yang menumpukan dalam bidang perniagaan dan pertanianpada awal penubuhannya. Persepakatan ahli jawatankauasa pengasas pergerakan serta menyahut seruan kerajaan yang mahu membela nasib orang Melayu dalam dua bidang ini. Motto utama 4B ialah ‘ Bergerak’.
Perkataan ‘Gerakan’ diperolehi oleh saudara Mohd Kassim Shah melalui pembacaan beliau. Manakala ‘4B’ terhasil dari konsep ‘4H’ ilham dari saudara Abdullah Malim Baginda. Tujuan penting penubuhan adalah mengajar, melatih serta menggerakkan tenaga belaia di luar Bandar untuk mengusahakan sebarang peluang dalam bidang social dan ekonomi disekeliling mereka.
Tahun 1856 bermulanya kelab ‘4H’ di New York dan ia meluas keseluruh Amerika, Eropah, Amerika latin dan Asia. Konsep ‘4H’ meluas ke Asia Tenggara pada 1957 dalam Far Eastern Youth Conference di Bangkok, Thailand di atas tajaan United State Operational Mission in Thailand, iaitu sebuah badan awam Amerika. Di Malaysia, penerimaan konsep ‘4H’ melalui ‘4B’ setelah 9 tahun berlansungnya persidangan itu.
Motto pergerakan ‘4H’ bertemakan ‘To make the best better’ dengan ikrar:
‘ I pledge my head clearer thinking,
my heart to greater loyalty,
my hand to larger service,
my health to better living,
for my club, my community,
and my country’
Manakala ikrar Gerakan 4B sebagaimana berikut;
Bahawa kami berikrar akan berfikiran waras,
Bersatu taat setia kepada negara,
Belajar setiap masa,
bekerja untuk penghidupan yang sempurna,
Berkhidmat untuk persatuan, masyarakat dan negara.
Konsep ‘Bersatu’ meliputi bidang rohani dan jasmani iaitu satu penyatuan tenaga fizikal dan mental ayng berasakan kepada satu cita-cita yang murni dan suci. Penyatuan ini merupakan soal pokok di dalam satu perjuangan melalui tenaga dan fizikal yang bersatu padu inilah segala cita-cita dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Berkhidmat’ adalah satu cara utama bagi belia yang berkenaan untuk mencapai perjuangan membina masyarakatnya secara keseluruhan. Semangat universal yang mesti dipupuk di kalangan kaum belia agar segala cita-cita dan perjuangan akan mencapai kejayaan.
‘Bergerak’ merupakan perkataan seruan yang melambangkan semangat berkobar-kobar di kalangan belia-belia untuk memperjuangkan cita-cita juga menjadi symbol yang menunjukkan jiwa 4B yang dinamis, progresif, radikal dan menggugat. Seruan ‘Bergerak’ adalah sebagai tindakan dalam menyalurkan konsep 4B iaitu Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat.
‘Belajar’ merupakan asas yang terpenting dalam usaha untuk mencapai sesuatu cita-cita dan pelajaran adalah suatu alat terpenting untuk mendapatkan kesempurnaan. Para belia mestilah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum menjalankan sesuatu rancangan. Hanya dengan alat kelengkapan ini barulah matlamat perjuangan belia yang asasi itu dapat dihasilkan.
‘Bekerja’ adalah tindakan bagi melaksanakan sesuatu rancangan yang telah ditaja di mana konseop ini juga adalah satu cara untuk menggunakan hasil bagi mencapai tujuan hidup. Tetapi setiap pekerjaan yang hendak dikerjakan itu haruslah berdasarkan satu konsep untuk kepentingan masyarakat seluruhnya dan bukannya untuk kepentingan individu semata-mata.
Melalui konsep yang konkrit ini, tujuan para belia untuk membina negara akan tercapai. Perkataan Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat serta Bergerak yang menjadi cogankata Gerakan Belia 4B ini adalah satu idea yang tinggi. Idealistik ini amat penting dan mesti ditanamkan dalam hati sanubari belia supaya mereka tidak semata-mata memikirkan soal diri sendiri ataupun yang berhampiran dengan diri mereka, tetapi supaya mereka berpandangan meluas dan objektif dalam mengendalikan kehidupan masing-masing.